Object-oriented programming
Object-oriented programming (OOP) ialah konsep programming yang
mengambil contoh daripada dunia nyata. Contohnya, lihat sahaja di
sekeliling anda, ada pelbagai benda (objek) yang wujud. Ada almari, beg,
katil, kucing, baldi, rumah, kereta, dan segala-galanyalah. Setiap benda
mempunyai:
- Ciri-ciri; contohnya, saiz botol besar atau kecil, usia kucing muda atau tua
- Tingkah laku; contohnya, botol boleh diisi air, kucing boleh berlari
Object
Dalam programming, object bermaksud data yang mempunyai ciri-ciri
(fields) dan tingkah laku (methods) yang tersendiri.
Class
Ada benda yang kelihatan serupa tetapi merupakan dua benda yang berbeza.
Contohnya, kereta Waja milik Pak Man sama dengan kereta Waja milik Pak
Mail. Walaupun dua-dua ialah kereta Waja, tetapi satu milik Pak Man, dan
satu lagi milik Pak Mail. Jadi, dua-dua kereta tersebut boleh
dikategorikan dalam class yang sama, iaitu kereta Waja.
Dalam programming, class menentukan ciri-ciri (fields) dan
tingkah laku (methods) sesuatu object.
Inheritance
Walaupun kereta Waja dan kereta Kancil kelihatan berbeza, kedua-duanya
masih boleh dikategorikan sebagai kereta. Tambahan pula, walaupun kereta
dan lori kelihatan berbeza, kedua-duanya boleh dikategorikan sebagai
kenderaan. Konsep ini dipanggil sebagai inheritance.
Dalam programming, sesuatu class boleh dikategorikan di bawah
class yang lain menggunakan konsep inheritance.
Interface
Di kilang kereta, sebelum sesebuah kereta boleh dijual, kereta itu perlulah mematuhi keperluan sebagai sebuah kereta. Contohnya, kereta itu mestilah boleh bergerak ke depan dan ke belakang, boleh membelok ke kiri dan ke kanan, dan sebagainya.
Dalam programming, kita boleh menetapkan tingkah laku (methods) sesuatu
class menggunakan interface. Apabila sesuatu class
menggunakan interface, class tersebut wajib menepati keperluan
interface tersebut.
Package
Ambil contoh pakej pelancongan. Pakej pelancongan biasanya ada
perkhidmatan bas, tempat penginapan, dan tempat-tempat menarik. Walaupun
semua benda tersebut tidak berada dalam class yang sama, tetapi
semuanya berkaitan dengan pelancongan.
Dalam programming, class yang berkaitan boleh diletakkan di bawah
package yang sama. Tujuan package adalah untuk memudahkan
pengurusan class tersebut.